" Tasawuf itu bukan suatu sistem hidup yang keras dan bukan suatu sistem yang menekan diri dan perasaan dan bukan membawa manusia hidup susah, bahkan membawa manusia hidup menurut kehidupan yang sebenarnya iaitu hidup dengan melakukan sesuatu pada tempatnya, dengan tidak mengurangi hajat hidup yang baik dan tidak pula melebihkannya".................
Pengertian Ilmu Tasawwuf :
Ilmu Tasawwuf adalah salah satu cabang ilmu Islam yang memperkatakan soal penyucian jiwa dan akhlak seseorang mukmin daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) dan menggantikan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) untuk menjadi pakaian rohani seseorang mukmin tersebut setelah melakukan latihan-latihan untuk mendidik nafsu supaya mengikut syariat Islam agar senantiasa diredhai Allah.
2. Ilmu Tasawwuf juga adalah ilmu yang mendidik nafsu agar sentiasa menjaga hubungan baik seseorang mukmin dengan Allah dan sesama manusia serta makhluk Allah sekaliannya.
3. Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :
- Taubat .
- Khauf ( Takut )
- Zuhud
- Sabar.
- Syukur.
- Ikhlas.
- Tawakkal.
- Mahabbah ( Kasih Sayang )
- Redha.
- Zikrul Maut ( Mengingati Mati )
4. Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :
- Banyak Makan
- Banyak bercakap.
- Marah.
- Hasad.
- Bakhil.
- Cintakan kemegahan.
- Cintakan dunia .
- Bangga Diri.
- Ujub ( Hairan Diri ).
- Riya’ ( Menunjuk-nunjuk ).
Banyak pendapat yang menyatakan bahawa perkataan tasawuf berasal dari perkataan shafa iaitu suci atau hening. Sebahagian ahli menyatakan bahawa sufi berasal dari perkataan shuf iaitu bulu biri-biri. Ini kerana pada zaman awal perkembangan sufisme, pakaian bulu biri-biri merupakan simbolpara hamba Allah yang tulus dan zuhud. Dan istilah sufi ini ditujukan kepada para ahli ibadah dan baru dikenali sebagai sahabat dan tabi`in.
Tasawuf pada dasarnya merupakan jalan atau cara yang ditempuh oleh seseorang untuk mengetahui tingkah laku nafsu dan sifat-sifat nafsu, baik yang buruk mahupun yang terpuji. Oleh itu, kedudukan tasawuf dalam islam diakui sebagai ilmu agama yang berkaitan dengan aspek-aspek moral serta tingkah laku yang merupakan substansi islam. Begitulah pengertian sufisme pada umumnya, kerana inti ajaran tasawuf terletak pada pengendalian nafsu badaniah dan kejayaan membersihkan watak jahat dan sifat-sifat keji sehingga hati menjadi bersih daripada segala kecenderungan kecuali kepada Allah. Oleh kerana itu, keadaan tasawuf pada umumnya sering dipantulkan oleh pelbagai watak yang dimiliki oleh para pengikutnya, antaranya ialahpeningkatan moral, kecemerlangan intelektual, hilangnya perasaan takut mati, timbulnya perasaan tenteram, keikhlasan jiwa, penuh penerimaan (qanaah), kebahagiaan dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya, tasawuf dalam pengertian yang sebenarnya merupakan ilmu yang sukar difahami dan berat untuk mengamalkannya oleh orang yang bukan ahli dalam bidangnya. Ia bukan sejenis ilmu yang dapat disebarluaskan secara mudah di kalangan orang awam dan khalayak ramai, tetapi lebih menjurus kepada orang yang memiliki kesedaran agama yang tinggi, di mana ketajaman intuitifnya mampu mengatasi ketajaman rasiaonalnya, kerana ilmu ini sarat dengan rahsia batiniah yang kaya dengan kandungan hikmah, yang memerlukan daya pemahaman yang kuat, penghayatan yang tinggi dan keseriusan untuk mendalami dan mengamalkannya. Ilmu tasawuf juga boleh dikenali dengan ilmu hati dan untuk memperolehinya tidak cukup dengan hanya dipelajari, tetapi ditentukan juga oleh kemurahan ilahi.
KEDUDUKAN TASAWUF DALAM ISLAM
Zaman berzaman berlalu, di mana ilmu tasauf terus mengibarkan sayapnya dalam memainkan peranannya dalam pembentukan umat Islam yang mantap. Walaupun dalam masa yang sama, tasauf juga sering mendapat tentangan yang hebat samada daripada musuh-musuh Islam mahupun dari kalangan umat Islam sendiri.
Jika direnung semula, kita akan dapati bahawa, ada di kalangan umat Islam yang menentang tasauf berdasarkan beberapa faktor antaranya: jahil tentang hakikat tasauf, dengki terhadap gerakan tasauf ataupun tidak mahu mengambil manfaat daripada ilmu tasauf itu sendiri kerana cintakan keduniaan dan sebagainya.
Jadi, risalah ini cuba untuk menjelaskan secara ringkas mengenai hakikat tasauf dalam beberapa siri Pengenalan Tasauf agar (sekurang-kurangnya) golongan yang jahil tentang tasauf mendapat imformasi yang jelas tentang apa itu tasauf?
Siri Pengenalan Tasauf ini didasari oleh buku-buku karangan Ustazuna Rahimuddin An-Nawawi (guru penulis) h.f.l. dan beberapa buku yang lain. Semoga perbicangan ini dapat di manfaatkan oleh sesiapa yang jujur dalam mencari hakikat sebenar Tasauf dalam Islam.
Fasal 1: Kedudukan Tasauf dalam Islam
Apabila kita membincangkan mengenai tasauf, perlulah kita ketahui terlebih dahulu beberapa persoalan penting iaitu, adakah tasauf merupakan suatu intipati dari ajaran Islam?
Jawapan:
Ya, tasauf merupakan intipati ajaran Islam berdasarkajn beberapa aspek:
Pertama: Tasauf merupakan antara intipati risalah Islam
Rasulullah s.a.w. merupakan utusan Allah s.w.t. yang berperanan untuk menjelaskan hukum-hakam Islam, menpraktikkan perundangan dan hukum Islam dalam masyarakat dan mendidik jiwa manusia (tazkiyah an-nufus) agar berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Setelah kewafatan Baginda s.a.w., para khalifah Islam memainkan peranan yang telah dimainkan oleh Rasulullah s.a.w. Namun, setelah zaman khulafa’ Ar-Rasyidin, khalifah-khalifah Islam tidak mampu lagi berperanan dalam menjelaskan hukum-hakam Islam dan mendidik jiwa umat Islam.
Ini kerana, kebanyakan khalifah-khalifah Islam tidak lagi menguasai ilmu-ilmu untuk mengeluarkan hukum Islam dari Al-Qur’an dan As-Sunnah, seterusnya tidak mampu juga untuk menjelaskan mengenai hukum syariat Islam dengan jelas. Maka, timbullah golongan fuqaha’ yang mengambil peranan dalam menjelaskan hukum-hakam Islam kepada masyarakat. Golongan tersebut mendalami ilmu Fiqh dan Usul-Fiqh sebagai dasar untuk mengeluarkan hukum-hukum Islam dari Al-Qur’an dan As-Sunnah dan menjelaskan kepada masyarakat mengenai syariat Islam.
Adapun dalam bidang pendidikan jiwa pula, maka timbullah suatu golongan yang lain, yang mengambil peranan dalam mendidik jiwa umat Islam dengan pendidikan akhlak yang mulia. Golongan tersebut pada mulanya dikenali oleh golongan zuhhad (orang-orang zuhud) dan kemudiannya lebih dikenali dengan golongan sufiyah (orang-orang sufi). Pendidikan jiwa dan akhlak yang dilaksanakan oleh mereka pula lebih dikenali dengan ilmu Tasauf.
Maka, hal ini jelas bahawa, tasauf merupakan antara intipati risalah Islam yang mana, ianya juga termasuk dalam bidang tugas Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan risalah Islam. Ini kerana, antara intipati ajaran Islam ialah, penyucian jiwa dan tasauf merupakan manhaj penyucian jiwa yang diamalkan oleh golongan sufi dalam membersihkan jiwa umat Islam.
Kedua: Tasauf merupakan antarqa rukun agama Islam
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. :
عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم، إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب. شديد سواد الشعر. لا يرى عليه أثر السفر. ولا يعرفه منا أحد. حتى جلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم. فاسند ركبتيه إلى ركبتيه. ووضع كفيه على فخذيه. وقال: يا محمد! أخبرني عن الإسلام . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم. وتقيم الصلاة. وتؤتي الزكاة. وتصوم رمضان . وتحج البيت ، إن استطعت إليه سبيلا قال: صدقت. قال فعجبنا له. يسأله ويصدقه. قال: فأخبرني عن الإيمان. قال: أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره قال: صدقت. قال: فأخبرني عن الإحسان . قال: أن تعبد الله كأنك تراه . فإن لم تكن تراه ، فإنه يراك . قال : فأخبرني عن الساعة. قال: ماالمسؤول عنها بأعلم من السائل قال: فأخبرني عن أماراتها . قال: أن تلد الأمة ربتها . وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء، يتطاولون في البنيان. قال ثم انطلق. فلبثت مليا. ثم قال لي: يا عمر! أتدري من السائل؟ قلت: الله ورسوله أعلم. قال: فإنه جبريل أتاكم يعلمكم دينكم .
متفق عليه
Yang bermaksud: “… berkata pemuda itu kepada Rasulullah s.a.w.: ” beritahu saya tentang apa itu Islam?”…Sehinggalah pertanyaan yang ketiga di mana pemuda itu bertanya: “beritahu aku tentang ihsan?” Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa, ihsan ialah, bahawasanya kamu menyembah Allah s.w.t. seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia melihat kamu”. (Muttafaq ‘alaihi)
Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa, rukun agama ada tiga iaitu: Iman, Islam dan Ihsan. Adapun tasauf tidak lain dan tidak bukan ialah perbahasan mengenai Ihsan itu sendiri. Ilmu tasauf membincangkan mengenai bagaimana untuk menyempurnakan amalan seseorang muslim, yang mana ianya merupakan ilmu tentang perbahasan Ihsan yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut.
Ketiga: Tasauf merupakan hakikat bagi Syariat Islam
Berdasarkan hadis tersebut, Islam merupakan peringkat amalan yang zahir, dalam bentuk ibadat, pergaulan dan sebagainya yang mana tempatnya ialah pada anggota zahir manusia. Adapun perbincangan mengenainya dibincangkan dalam ilmu Fiqh dan ianya dikenal juga sebagai Syariat.
Manakala, perbahasan iman, merupakan perbahasan tentang kepercayaan hati seseorang, samada keimanan kepada Allah s.w.t., para Rasul-Nya a.s. dan perkara-perkara yang ghaib yang lain. Ilmu tersebut dibincangkan oleh para ulama’ ilmu Tauhid.
Adapun Ihsan, ianya merupakan perbincangan dari sudut kerohanian manusia di mana letaknya di hati rohani manusia. Ia membincangkan mengenai perasaan manusia dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. dengan adab-adab dan akhlak-akhlak yang mulia. Ia juga membincangkan mengenai perkara-perkara yang lahir dari hasil berbaik hubungan dengan Allah s.w.t. samada dalam bentuk perasaan (azwaq) maqom (kedudukan kerohanian seseorang) dan sebagainya. Inilah yang dipanggil sebagai hakikat.
Untuk menjelaskan tentang hubungan antara Syariat dan Hakikat, kami bagi contoh iaitu solat.
Solat secara syariatnya (atau secara zahirnya) merupakan pergerakan-pergerakan khusus seperti mengangkat takbir, ruku’ sujud dan sebagainya. Adapun hakikat (atau batinnya) bagi solat ialah, khusyuk, atau rasa kehadiran hati dalam mengingati Allah s.w.t.
Solat yang didirikan secara zahir dipanggil syariat dan khusyuk merupakan hakikat ibadah solat tersebut. Ibadah solat zahir tanpa khusyuk bererti, ibadah tersebut mati tanpa roh atau hakikat. Manakala, tiada hakikat tanpa syariat. Ini kerana, syariat perlulah sejajar dengan Syariat.
Maka, untuk mendapat kelazatan dalam beribadah, perlulah disertai dengan hakikat ibadah itu sendiri, iaitu, rasa kewujudan Allah s.w.t. yang memerhati kita, dalam hati kita. Untuk mendapatkan perasaan tersebut, perlulah dengan toriqah. Tariqoh ialah, melawan hawa nafsu, membuang sifat yang buruk dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Maka, kesimpulannya:
Syariat: Asas
Toriqah: Jalan
Hakikat: Hasil
Maka, tasauf merupakan ilmu yang membincangkan jalan untuk sampai kepada hakikat ibadah. Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan tentang kedudukan tasauf dalam Islam. Jelaslah kita bahawa, tasauf merupakan intipati dari ajaran Islam dan ianya juga merupakan proses penyempurnaan ibadah seseorang manusia dan proses pendidikan jiwa supaya manusia beradab kepada Allah s.w.t.
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (470H/1077-08M –561H/1166M)membahagikan manusia kepada empat kategori atau golongan, yaitu:
Pertama : Kategori manusia yang tidak ada lidah dan tidak ada hati
Kedua : Kategori manusia yang ada lidah tetapi tidak ada hati.
Ketiga : Kategori manusia yang ada hati tetapi tidak ada lidah.
Keempat : Kategori manusia yang ada hati dan ada lidah.
Apakah ciri-ciri kategori pertama ini? Mereka ini adalah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kecil (yang tidak mengenang Allah) dan tidak ada kebaikan pada mereka. Golongan ini umpama “melukut” yang ringan, kecuali mendapat limpah kurnia dan inayah Allah S.W.T membimbing hati mereka supaya beriman serta mematuhi suruhan dan larangan Allah S.W.T. Awaslah agar tidak termasuk ke dalam kelompok ini. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Mintalah perlindungan Allah S.W.T. daripada pengaruh buruk mereka. Oleh itu hendaklah kamu cuba menjadikan diri kamu sebagai manusia yang dilengkapi dengan sifat-sifat dan ciri-ciri berikut:
1. Ilmu Ketuhanan,
2. Menjadi Guru yang baik (ertinya menjadi contoh teladan),
3. Pembimbing kepada agama Allah,
4. Penyampai dan penyeru kepada jalan Allah.
Kategori manusia yang kedua adalah mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati, ciri-cirinya adalah:
1. Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya (Cakap tak serupa bikin!).
2. Mereka mengajak orang lain menuju Allah tetapi mereka sendiri lari dari Allah.
3. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumang dalam maksiat.
4. Mereka menunjukkan kepada orang lain yang mereka itu orang yang soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa besar.
5. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian.
Inilah orang yang dikatakan baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui sabdanya , “Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang ‘alim yang jahat.” Oleh itu hindarilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti ini. Jika tidak kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manisnya yang bijak berbicara dan api dosanya itu akan membakar kamu serta kekotoran hatinya akan membunuh kamu.
Kategori manusia yang ketiga pula adalah orang-orang yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah. Ciri-cirinya seperti berikut:
1. Seorang yang beriman.
2. Allah mendindingi mereka daripada makhluk dengan menggantungkan tabirNya di sekeliling mereka.
3. Allah memberi mereka kesedaran tentang cacat cela diri mereka.
4. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul akibat mencampuri urusan orang ramai serta kejahatan yang timbul kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan akibat bercakap banyak.
Golongan ini mengetahui bahawa keselamatan terletak di dalam “DIAM”, sebagaimana sabda Nabi S.A.W. “Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan.” Sabdanya lagi, “Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam.”
Mereka yang termasuk dalam kategori ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah serta diberkati dengan keredhaan dan segala yang baik diberikan kepada mereka. Oleh itu eloklah kamu bergaul dan bersahabat dengan mereka ini, dan jika kamu berbuat demikian kamu akan dikasihi Allah serta dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang soleh.
Kategori manusia yang keempat adalah mereka yang dijemput ke dunia tidak nampak (Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti sabda Nabi S.A.W. “Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan dipermuliakan.”
Mereka yang tergolong dalam kategori ini memiliki ilmu-ilmu ketuhanan dan tanda-tanda Allah, hati mereka menjadi gedung ilmu Allah. Mereka ini diberikan rahsia-rahsia yang tidak diberikan kepada orang lain, dan membawa mereka hampir kepadaNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia dan ilmu-ilmu yang tinggi, dan mengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Mereka mendapat bimbingan yang benar serta mengesahkan kebenaran orang lain. Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah dari Allah. Mereka yang berada dalam kategori ini adalah pada peringkat paling tinggi atau di puncak kemanusiaan, dan sayugia diketahui bahwasanya tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian!
Demikian nasihat dan pesanan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani berhubung empat jenis (kategori) manusia supaya menjadi pedoman dan i’tibar kepada kita sekalian. Kepada yang sedia mengetahuinya mungkin sudah meletakkan diri masing-masing ke dalam kategori yang terbaik, manakala bagi yang belum mengetahuinya mungkin dapat membantu menambah pengetahuan dan kesedaran diri yang tinggi bagi merobah sikap, stail berfikir dan gaya hidup kepada tahap yang lebih b aik dan diredhai Allah S.W.T.
APA YANG KITA ADA?
Soalan ku ulang. Apa yang engkau miliki? Apa yang aku miliki. Jawapannya hanya satu perkataan ; Tiada.
Benarkah tiada? Jawapan ku; Benar, tiada apa-apa yang kita miliki. Habis!! Hartaku ini siapa punya? Duitku siapa punya? Isteriku siapa punya? Anak-anakku siapa punya? Keretaku siapa punya? Tanahku siapa punya? …..siapa..siapa…siapa punya??
Jawapanku; semua itu hanyalah milik Allah. Engkau hanya diberi amanah untuk menjaga dalam maksud ‘keakuanmu’ sebagai memiliki. Dalam diri kita ada sifat ‘keakuan’ = Aku punya… .
Langsung tidak memiliki apa-apa? Ya! Langsung tiada apa-apa, termasuk dirimu sendiri bukan milikmu. Segala yang ada tersembunyti dalam jasadmu ataupun yang terzahir di luar jasadmu, hanyalah pinjaman, amanah Allah semata-mata.
Nah! Kalau begitu mengapa kita harus berada di dunia sedangkan segala-galanya bukan untuk dimiliki dan takkan akan dimiliki?
Ini jawapanku..Jika kau benar-benar memiliki sesuatu, kau mungkin akan mengatakan “Ini adalah hak miliki aku. Suka hatilah aku nak buat apa.” Malangnya, itu hanya andaian kosong. Hakikatnya apabila semua itu milik Allah dan kita menyedarinya. Tentu sekali kita akan berhati-hati. ” Ini bukan milik aku, ini adalah milik Allah. Aku mesti menjaganya sebaik mungkin.”
Kesimpulannya, Carilah nikmat Allah dan jauhkan diri daripada mudarat dalam dunia ini. Cuma ingatlah. Allah Maha Teliti melihat apa yang Dia miliki yang berada di dalam ‘milikanmu’ sekarang.
No comments:
Post a Comment